Bayaran Hutang Selepas Kematian: Bolehkah Anak Sulung Ambil Duit Itu Untuk Diri Sendiri?

Status pemilikan rumah nama suami pada pasangan tanpa anak dan ibu bapa, jika suami meninggal dunia.

Apabila seseorang meninggal dunia, bukan semua perkara berkaitan harta akan selesai serta-merta. Ada hak si mati yang hanya diterima selepas kematian, termasuk bayaran hutang daripada orang lain.

Dalam kes anak sulung ambil duit pusaka, ramai menyangka perkara ini dibolehkan kerana duit tersebut diterima olehnya.


Di sinilah sering berlaku kekeliruan dan pertikaian dalam keluarga.

Seorang waris berkongsi situasi berikut:

Kawan arwah ayah bayar hutang ayah sebanyak RM10,000.
Tapi duit itu dibayar kepada abang saya, anak sulung.
Abang guna duit itu untuk diri sendiri dengan alasan dia lebih perlukan.
Boleh ke sebenarnya?”

Soalan ini bukan kes terpencil. Ia adalah antara isu yang paling kerap berlaku dalam pengurusan pusaka Islam.

hukum anak sulung ambil duit pusaka

Jadi, Apa Status Duit Hutang Yang Dibayar Selepas Kematian?

Apabila hutang si mati dibayar selepas kematiannya, wang tersebut bukan milik individu yang menerima bayaran, walaupun dia adalah anak sulung.

Menurut hukum Islam, wang itu adalah harta pusaka si mati, kerana ia merupakan hak arwah yang baru diperoleh selepas kematian. Statusnya kekal sebagai pusaka dan tertakluk kepada pengurusan serta pembahagian yang sah.

Anak Sulung Tidak Mempunyai Keistimewaan Khas Dalam Pusaka

Satu salah faham besar dalam masyarakat ialah anggapan bahawa anak sulung mempunyai hak istimewa dalam pusaka.

Hakikatnya:

  • Islam tidak memberikan kelebihan khas kepada anak sulung dalam pembahagian harta pusaka
  • Tiada konsep “abang paling berhak ambil dahulu”
  • Waris yang menerima harta sebelum agihan hanyalah pemegang amanah, bukan pemilik mutlak

Menerima wang tersebut tidak bermakna dia boleh menggunakannya sesuka hati.

Apa Hukum Menggunakan Duit Pusaka Tanpa Persetujuan Waris?

Menggunakan harta pusaka tanpa persetujuan semua waris dan sebelum pembahagian faraid adalah haram.
Perbuatan ini dikira sebagai memakan harta pusaka secara tidak sah, walaupun dengan alasan:

  • Kesempitan hidup
  • Keperluan mendesak
  • Merasa diri lebih layak

Dalam Islam, keperluan diri tidak menghalalkan hak orang lain.

Apakah Proses Yang Sepatutnya Dilakukan?

Bayaran hutang sebanyak RM10,000 tersebut wajib:

  1. Dimasukkan ke dalam senarai harta pusaka si mati
  2. Digunakan untuk melangsaikan hutang-hutang arwah, jika masih ada
  3. Baki dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid

Sekiranya wang tersebut telah digunakan oleh anak sulung, dia wajib memulangkannya atau nilainya perlu diambil kira semula dalam pengiraan bahagian pusaka.

Isu Sebenar: Kekurangan Ilmu dan Amanah.

Isu ini berkait rapat dengan kes rumah nama suami tiada anak, di mana salah faham tentang hak waris juga sering berlaku.

Kebanyakan konflik pusaka bukan berpunca daripada niat jahat, tetapi kerana:

  • Waris tidak memahami hukum pusaka Islam
  • Tiada perancangan harta dibuat semasa hidup
  • Tiada panduan yang jelas dalam mengurus pusaka

Akhirnya, harta yang sepatutnya menjadi sumber keadilan bertukar menjadi punca dosa dan perpecahan keluarga.

Perancangan Bukan Untuk Soal Persedian Sebelum Kematian Sahaja, Tetapi Untuk Melindungi Yang Ditinggalkan

Perancangan pusaka Islam bukan bertujuan mengubah hukum, tetapi memastikan hak dilaksanakan dengan betul dan amanah terpelihara.
Lebih awal perancangan dibuat, lebih terjamin keharmonian keluarga dan hak waris selepas ketiadaan kita.

Jika anda mahu memahami cara mengurus pusaka Islam dengan betul, patuh syariah dan mengelakkan konflik keluarga, dapatkan panduan yang tepat sebelum terlambat.

*Sumber bacaan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3088-al-kafi-1086-cara-membayar-hutang-kepada-pemiutang-yang-meninggal-dunia