Ramai umat Islam memiliki polisi life insurance (insurans konvensional) dan dalam isu pampasan insurans konvensional ini, ramai waris tersilap anggapan bahawa ianya boleh diwarisi seperti harta pusaka lain.
Namun dari sudut hukum Syariah, perkara ini tidak boleh dilihat dari sudut undang-undang sivil semata-mata, kerana ia telah diputuskan secara jelas oleh pihak berautoriti dalam fatwa di Malaysia.

Keputusan Rasmi Fatwa Kebangsaan Mengenai Insurans Konvensional
Merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20–22 April 2011, keputusan berikut telah dibuat berhubung Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pemilik Polisi:
1. Insurans Konvensional Tidak Patuh Syariah
Muzakarah memutuskan bahawa insurans konvensional adalah muamalah yang tidak patuh Syariah kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan prinsip asas Islam seperti riba, gharar dan maysir.
Oleh itu, implikasi terhadap pampasan kematian tidak boleh disamakan dengan harta pusaka biasa.
2. Pampasan Insurans Konvensional Adalah Harta Tidak Patuh Syariah
Pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh waris dikategorikan sebagai harta tidak patuh Syariah.
Ini bermaksud, secara asasnya, ia tidak boleh diwarisi oleh waris mengikut sistem faraid.
3. Bahagian Yang Boleh Diwarisi Hanya Wang Pokok
Fatwa menetapkan pembahagian berikut:
→ Jumlah bayaran pokok (premium) yang dibayar oleh pemilik polisi semasa hayat sahaja
→ Dikira sebagai harta peninggalan si mati
→ Wajib diagihkan kepada waris mengikut faraid
Baki pampasan polisi (lebihan daripada bayaran pokok)
→ Tidak boleh diwarisi secara faraid
→ Wajib dilupuskan dengan cara:
✿ Diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri, atau
✿ Didermakan untuk tujuan kebajikan termasuk kepada fakir dan miskin
4. Jika Waris Tergolong Dalam Golongan Fakir dan Miskin
Fatwa juga memberi kelonggaran dalam situasi tertentu.
Jika isteri atau anak-anak si mati tergolong dalam kategori fakir dan miskin, maka:
→ Mereka harus mengambil wang pampasan insurans konvensional tersebut sekadar keperluanan
→ Pengambilan itu hendaklah:
✿ Disahkan oleh pihak berkuasa, atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan
→ Penggunaan wang tersebut:
✿ Terhad kepada keperluan asas sahaja
✿ Tidak boleh digunakan secara berlebih-lebihan
✿ Baki wang tetap wajib dilupuskan seperti yang ditetapkan dalam fatwa
Pampasan insurans konvensional juga boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang si mati, kerana melunaskan hutang adalah keutamaan dalam pengurusan harta selepas kematian.
Kesimpulan Penting Untuk Orang Islam
Berdasarkan fatwa rasmi:
- Pampasan insurans konvensional bukan harta pusaka sepenuhnya
- Hanya jumlah bayaran pokok boleh difaraidkan
- Lebihan pampasan adalah harta tidak patuh Syariah dan perlu dilupuskan
- Waris hanya boleh mengambil lebihan pampasan jika benar-benar tergolong fakir dan miskin, dan sekadar keperluan
Inilah sebab utama mengapa insurans konvensional sebagai instrumen perancangan harta bagi orang Islam adalah tidak sesuai sama sekali.
Rancang Supaya Tidak Membebankan Waris
Perancangan harta yang tidak jelas akan:
- Menyusahkan waris
- Mendedahkan mereka kepada risiko dosa
- Menyebabkan kekeliruan dan konflik selepas kematian
Isu pampasan insurans ini sering berkait dengan salah faham lain dalam pengurusan pusaka dan pembahagian harta selepas kematian.
Bagi umat Islam, perancangan patuh Syariah seperti takaful, hibah dan pengurusan pusaka yang betul adalah jalan yang lebih selamat dan menenangkan.
Rujukan :
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 (2011) dan page Jabatan Mufi Negeri Selangor : https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=2995



